Saturday, April 26, 2008

K-EKONOMI TONGGAK MASA DEPAN MALAYSIA

Artikel-artikel yang di siarkan berikutnya dari tahun 2000 yang mana membincangkan isu-isu k-ekonomi. Semoga isu-isu berhubung dengan k-ekonomi ini dapat di manafaatkan bersama sesuai dengan perubahan zaman. Begitu juga dalam zaman moden ini.


Jika pada abad ke 19 dan ke 20 manusia melakar asas kemajuan - daripada pertanian ortodoks kepada perindustrian berasaskan teknologi, penerokaan angkasa lepas dan sebagainya - pada abad ke 21 dan alaf baru ini, manusia mencipta sesuatu yang lebih tinggi nilai dan manafaatnya.

Paling terbaru adalah bidang teknologi maklumat (IT). Teknologi ini berjaya merobohkan sempadan dunia (lihat Borderless World - Kenichi Ohmae) dan membentuk globalisasi (lihat Peter Drucker - Capitalist Society). IT boleh dikatakan sebagai kejayaan paling besar pernah dicapai manusia.

[ BINCANG PASAL FOREX....income kencang.. ]





ANALISIS - K-EKONOMI TONGGAK MASA DEPAN MALAYSIA
Oleh Nazar Abdul
Berita Harian, Isnin 13 Mac 2000

PERDANA Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad baru-baru mengumumkan satu lagi rancangan strategik kerajaan untuk memperkenalkan Pelan Induk Ekonomi Berasaskan Pengetahuan atau Rancangan K-Ekonomi sebagai usaha meningkatkan pencapaian dan kemajuan Malaysia dalam alaf baru ini.

Rangka rancangan ini sedang disiapkan dan dijangka selesai September ini dan akan dilaksanakan bulan berikutnya. Menurut Dr Mahathir Malaysia perlu mempunyai Rancangan K-Ekonomi sebagai persiapan menghadapi ekonomi dunia yang lebih hebat dan mencabar dalam tahun 2000 ini.

Pemilikan ekonomi berasaskan pengetahuan ini bukan terbatas kepada mana-mana pihak. Dia adalah hak setiap individu. Pemilikan K-Ekonomi memberi kesan yang lebih hebat kepada setiap pemiliknya. Tanpa ilmu, ekonomi tidak dapat digerakkan. Menerusi K-Ekonomi, idea boleh dikembangkan hingga menjadi masyarakat pencipta. Rakyat Malaysia tidak boleh lagi menjadi pengikut dalam apa bidang sekali pun.

Mereka seharusnya menjadi penggerak dengan menggembleng pengetahuan yang mereka miliki. Dalam K-Ekonomi, penghormatan akan diberikan kepada mereka yang mempunyai ilmu yang boleh menggerakkan ekonomi.

Modal tidak boleh lagi dijadikan bahan utama dalam apa juga urusan dan perniagaan sekiranya tidak disertakan dengan pengetahuan. Inilah realiti dunia abad ini.

Malaysia sebagai sebuah negara membangun perlu berusaha memastikan negara menikmati pembangunan yang berterusan tanpa diganggu-gugat oleh perubahan pesat di negara lain khususnya di Barat.

Pada masa akan datang Malaysia tidak boleh bergantung kepada kekuatan ekonomi yang berasaskan industri dan pengeluaran saja. Kekuatan ekonomi dunia akan datang lebih bergantung kepada kemajuan dan penguasaan ilmu pengetahuan yang luas. Bagaimanapun kejayaan pelaksanaan Rancangan K-Ekonomi ini banyak bergantung kepada penyertaan yang menyeluruh daripada semua lapisan rakyat.

Lagi ramai rakyat yang memahami dan menghayati rancangan ini maka semakin cepat pula Malaysia mencapai kemajuan yang dihasratkan. Sebagaimana yang ditegaskan Perdana Menteri, K-Ekonomi sangat penting bagi masa depan Malaysia kerana negara harus menghadapi cabaran lebih hebat berikutan proses globalisasi yang sedang berlaku di dunia sekarang. Malaysia tidak harus ketinggalan dalam hal ini dan perlu bersiap sedia menghadapinya.
Artikel selanjutnya....


MENYERTAI K-EKONOMI
Utusan Malaysia, Isnin 13 Mac 2000

PADA penghujung Ogos ini, projek Koridor Raya Multimedia (MSC) yang berperanan sebagai platform usaha pembangunan multimedia dan teknologi maklumat (IT) akan genap lima tahun. Sehingga kini kerajaan meneruskan usaha memperluaskan ruang lingkungan pembangunan berkenaan.

Dalam senarai istilah baru era IT, Ekonomi-Pengetahuan (k-ekonomi) turut menjadi 'anggota' terbarunya. Tumpuan ke atas bidang k-ekonomi merupakan langkah terbaru dalam usaha yang dimaksudkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyifatkannya sebagai inisiatif kedua pembangunan negara. Atas sifat Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun, tahap dan skop pembangunan ekonomi perlu terus berkembang. Pelaksanaan K-ekonomi akan menambah sifat dinamik kepada pembangunan ekonomi.

Kita tidak dapat lari daripada cabaran dan tanggungjawab berkenaan memandangkan k-ekonomi telah dikelaskan sebagai sebahagian daripada unsur global yang perlu diterima.
''Jika Wawasan 2020 adalah langkah strategik yang pertama, langkah kedua ini akan digelar inisiatif strategik satu abad ke-21,'' demikian gambaran Dr. Mahathir pada minggu lalu.
Beliau juga berkata, ekonomi baru dan k-ekonomi adalah perlu kerana lebihan kerja-kerja kabur.

Rakyat perlu peka kepada perkembangan baru yang dinamakan k-ekonomi memandangkan ia begitu penting kepada daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa, manakala kerajaan pula perlu mengambil tindakan, di samping memandang serius mengenai kesannya dalam jangka panjang. K-ekonomi kini telah menjadi sebahagian daripada elemen yang memperkukuhkan daya saing dalam era globalisasi dan liberalisasi perdagangan.

Selain daripada apa yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin ketika membentangkan cadangan Belanjawan 2000 pada 29 Februari lalu dan penjelasan Dr. Mahathir minggu lalu berkenaan dengan inisiatif kerajaan untuk menubuhkan pelan induk dalam bidang k-ekonomi, pelbagai pihak termasuk Akademi Sains Malaysia juga sedang meneliti perkara ini. Artikel selanjut...


K-EKONOMI TIDAK TERHAD PENGGUNAANNYA
Oleh: RAMLAN ABD. WAHAB
Utusan Malaysia, 29 Mac 2000

PENGETAHUAN yang menjadi asas kepada k- ekonomi bukanlah sekadar ''apa-apa yang dipelajari atau dialami'', tetapi juga ''bagaimanakah apa yang telah dipelajari dan dialami itu diaplikasi dan direkayasa secara berterusan dan bersepadu.

Ini penting, untuk menghasilkan teori, produk atau pengalaman dan kemahiran baru yang lebih pragmatik dan produktif sebagai sumber kepakaran, kreativiti dan nilai-nilai murni kemanusiaan sejagat''.

Misalnya, tidak memadai sekadar mengetahui bahawa ''elektron ialah zarah terkecil bercas negatif dalam setiap atom unsur-unsur kimia'', atau ''apabila elektron mengalir, arus elektrik akan terjana'' dan sebagainya.

Butiran-butiran atau fakta asas seperti ini tidak mempunyai sebarang impak langsung kepada ekonomi atau merangsangkan semangat pembangunan, melainkan jika ciri-ciri dan hakikat aliran elektron itu dikonkritkan dalam bentuk sel-sel bateri, cip mikropemproses, litar elektronik dan sebagainya.

Pada masa yang sama, pengetahuan yang menjadi asas kepada k-ekonomi terbina daripada unsur-unsur ilmu yang interaktif dan merentasi pelbagai disiplin dan aktiviti kehidupan, yakni unsur-unsur ilmu yang persis dan praktis bagi semua aspek penggunaan dan pembangunan. Unsur-unsur ilmu ini juga bersifat dinamik dan berpotensi untuk berkembang selaras mengikut keperluan. Sesuai dengan konsep ''pelbagai guna'', maka pengetahuan yang menunjangi k-ekonomi tidak terhad implikasinya, dan tidak eksklusif pengertian dan aplikasinya, ataupun bukan semata-mata deklaratif sifatnya (yakni sekadar mengisytiharkan fakta atau data) dan kemudian dilupakan (atau dipinggirkan).

Sebaliknya, berdasarkan konsep yang sama, pengetahuan ini perlu wujud sebagai suatu sistem rujukan yang efisien dan sebagai sumber idea dan gagasan kehidupan masa depan.

Menurut laporan, sebanyak RM55 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Singapura bagi membantu 30,000 rakyatnya yang berpendapatan rendah, tidak berkeupayaan menggunakan komputer dan kurang fasih berbahasa Inggeris untuk mempelajari kaedah penggunaan komputer dan kemahiran-kemahiran lain yang berkaitan dengan TMK. Warga yang telah dikenal pasti itu akan diberi komputer peribadi terpakai dan kemudahan-kemudahan asas bagi pencapaian dan penggunaan Internet, serta latihan-latihan secara percuma, Insentif yang diperuntukkan ini dikatakan sebagai sebahagian daripada Pelan Induk perhubungan Maklumat 21 Penguasa pembangunan Info-perhubungan (IDA) Singapura. Artikel selanjutnya...

3 ASPEK BEZAKAN K-EKONOMI

FOKUS ke atas ekonomi pengetahuan (k-ekonomi) terus mendapat momentum dengan sokongan pelbagai pihak ke arah mewujudkan pertumbuhan dan pembangunan mapan. Sokongan pelbagai pihak ke atas seruan kerajaan yang telah mengambil langkah merangka Pelan Induk -ekonomi mula membuahkan hasil peringkat awalan.

Yang terbaru dalam senarai sokongan itu ialah penyertaan bahagian yang khusus mengenai k-ekonomi dalam Laporan Tahunan Bank Negara 1999 yang dikeluarkan pada 29 Mac lalu. Ini merupakan kali pertama bank pusat menyertakan bahagian khusus membincangkan topik berkenaan, sekali gus menandakan kepentingan dalam pertumbuhan ekonomi.

Dalam penerbitan itu, Bank Negara berpendapat, demi mengekalkan persaingan, Malaysia perlu menggunakan peluang yang banyak disediakan oleh revolusi pengetahuan.

''Satu persekitaran yang kaya dengan pengetahuan dan bergerak pantas akan memudahkan persaingan yang berjaya dalam persekitaran global yang berubah,'' kata bank pusat itu.
Ia seterusnya memberitahu, kemampuan untuk beralih ke persaingan paradigma baru yang berdaya saing akan membolehkan Malaysia beralih dari era perindustrian ke era selepas industrialisasi yang berasaskan pengetahuan, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

''Adalah jelas dalam persekitaran yang pantas berubah, peralihan ke k-ekonomi di mana inovasi dan penyesuaian akan menjadi strategi yang paling berhemat dan berkesan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi benar yang mapan,'' kata Bank Negara.

Bank Negara tidak menafikan bahawa sesetengah sektor di Malaysia mengalami peningkatan dalam produktiviti. ''Namun begitu, apa yang membimbangkan ialah keuntungan produktiviti diperoleh melalui peningkatan penggunaan peralatan pengeluaran canggih yang diimport di mana ia juga akan dipergunakan oleh pesaing,'' jelasnya. Artikel selanjut..


ILMU KUNCI UTAMA K-EKONOMI
Berita Minggu Online - 23 April 2000 Ahad

K-EKONOMI atau ekonomi berasaskan pengetahuan adalah satu terma baru yang akan membuat sesiapa saja berfikir. Berfikir untuk mencerna konsep, memahami dan seterusnya cuba mengaplikasi dalam kehidupan. K-Ekonomi adalah perubahan daripada ekonomi berasaskan pengeluaran (P-Ekonomi) sekarang.

Sementara terma baru itu sendiri belum dapat dihuraikan, minat mendalam dan kesedaran masyarakat yang ditunjukkan terhadap konsep K-Ekonomi adalah satu perkembangan positif.
KABUR - mungkin perkataan terlalu besar untuk menggambarkan pandangan masyarakat umum terutama belia terhadap konsep K-Ekonomi. Seperti yang dilihat menerusi Kongres Belia Kebangsaan K-Ekonomi anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) baru-baru ini,meskipun idea dan pandangan yang diberikan secara relatifnya relevan, cadangan yang diberikan terlalu mengkhusus kepada aspek tertentu saja.

Seminar anjuran Isis itu bertujuan mendapatkan maklum balas daripada belia untuk membolehkan Isis merangka draf Pelan Induk K-Ekonomi yang akan dibentangkan kepada kerajaan Jun ini. Beberapa lagi siri seminar yang sama kepada pelbagai golongan masyarakat akan diadakan bagi membolehkan Isis mengumpul maklumat secukupnya. Kerajaan dijangka mengemukakan draf pelan induk K-Ekonomi menjelang Oktober ini dan ia akan diaplikasikan dalam Belanjawan Negara tahun depan (2001). Artikel selanjut...


K-EKONOMI DARI KACA MATA ISLAM
Oleh: Maarop Md Noh
Berita Harian, Isnin 19 Jun 2000

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan hala tuju baru ekonomi negara barasaskan ilmu pengetahuan atau k-ekonomi, sekali gus Malaysia adalah negara Islam pertama memartabatkan ilmu pengetahuan sebagai satu daripada pendekatan untuk memajukan bangsa, agama dan negara.

Perdana Menteri percaya, sebagai negara membangun, Malaysia perlu mengukuhkan kedudukan dengan satu pendekatan yang baru. Beliau melihat perkembangan ilmu pengetahuan kini sudah memasuki era dan nilai paling tinggi. Ilmu pengetahuan bukan sekadar faham membaca atau menulis tetapi martabatnya sudah mencukupi seluruh kegiatan hidup dan simpang-siur bermasyarakat dan bernegara. Dalam perhubungan antara bangsa, ilmu pegetahuan menduduki barisan depan sekali berbanding bidang lain. Malah, segala kegiatan hidup diikat dan dipantau oleh ketinggian ilmu. Semakin tinggi ilmu seseorang atau masyarakat itu, semakin mereka dihormati.

Berdasarkan realiti inilah, k-ekonomi diletakkan sebagai mercu tanda peralihan penjanaan ekonomi negara. Menerusi k-ekonomi, Malaysia boleh meneroka pelbagai bidang ekonomi canggih dan berdaya maju. Ini penting dalam usaha pembentukan semula negara maju. Jika beberapa tahun selepas merdeka, ekonomi negara berasaskan pertanian, tetapi selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1970, walaupun pertanian masih menjadi teras kekuatan ekonomi, namun peralihan mula ketara. Kedaan lebih ketara lagi apabila Rancangan Jangka Panjang Ekonomi (RJP) diperkenalkan pada awal 80-an. RJP memberi penekanan yang lebih sedikit kepada perindustrian. Sebenernya di sinilah bermulannya pendekatan k-ekonomi di negara ini. Berita selanjutnya....

No comments: