PETALING JAYA, 1 April 2008 - Desakan demi desakan supaya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan semakin berkumandang.
Malah hari ini dalam program 'Umno Pasca Pilihan Raya ke-12' yang diadakan di Hotel Singgahsana dekat sini, suara hadirin bulat menyatakan Abdullah perlu meletak jawatan kerana punca kekalahan dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.
Dewan Besar Hotel Singgahsana dekat sini hiruk pikuk dengan laungan supaya Abdullah meletak jawatan, dan ianya dihangatkan lagi apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Dato' Mukriz memberi pandangan terhadap punca kekalahan yang berlaku kepada Umno/BN sewaktu pilihan raya 8 Mac lalu.
Mahathir dalam ucaptamanya selepas forum tersebut secara terang menyindir kepimpinan Abdullah yang hanya dikuasai oleh anak menantu hingga menjadikan negara dan Umno itu lemah.
Tun Mahathir secara terang menyatakan bahawa inilah kali pertama dalam sejarah Umno/BN bahawa Perdana Menteri adalah daripada negeri yang kalah iaitu Pulau Pinang.
Beliau berkata, sebelum ini empat Perdana Menteri yang lalu kesemuanya menjadi Perdana Menteri mewakili negeri yang dimenangi Umno/BN atau pakatan Perikatan.
Namun pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Perdana Menteri sekali lagi tidak malu untuk menjawat jawatan itu walaupun negerinya tergadai kepada parti lawan, katanya.
Menyingkap sejarah Umno dan kepimpinan utama parti itu pula Dr Mahathir berkata, sebelum ini beberapa Presidennya, telah dengan suka rela meletak jawatan kerana mendengar pandangan ahli.
"Kalau kita lihat sejarah Umno pemimpin pertama, Dato' Onn Jaffar yang begitu berbakti kepada Umno, tetapi Onn Jaffar juga telah tarik diri daripada Umno kerana sesuatu kelemahan," katanya.
"Berikutan itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dimasukkan dan berusaha mencapai kemerdekaan pada 1957, ini kejayaan yang besar dan dikenangkan. Tetapi apabila tiba masanya ahli Umno tak berminat dengan Tunku, maka dengan bermaruah Tunku tarik diri tanpa dihalau oleh sesiapa.
"Ini menunjukkan orang-orang ini sensitif dan sedar pandangan rakyat dan ahli Umno dan bertindak sendiri untuk undur dari jadi pemimpin Umno.
"Ada seorang ladi yang begitu lama jadi PM, jadi Presiden Umno (merujuk kepadanya), tetapi orang tua ini telinganya masih boleh dengar dan dia dengar bila lagi orang tua ini nak pegi (meletak jawatan), dia pun letak jawatan, secraa terhormat" katanya sinis.
Tetapi katanya pemimpin yang ada hari ini (merujuk kepada Abdullah) yang menutup suara ahli, menutup kebenaran dan hanya melaporkan yang baik-baik sahaja membuatkan Umno dan BN kalah teruk dalam pilihan raya lalu.
Dengan mengadakan pilihan raya dalam jangka masa umur kerajaan pasca PRU-11 baru sahaja tiga tahun setengah, Perdana Menteri kononnya merasakan boleh menawan Kelantan, menang besar dan mendapat majoriti besar.
Bagi Tun Mahathir, buat pertama kalinya ahli Umnobegitu meluat dan benci kepada kepimpinan hingga mereka buat keputusan bahawa akan undi parti lawan secara senyap.
Namun hal ini tidak berani dilaporkan oleh kaum-kaum yang mengampu pemimpin negara dan ianya menyebabkan Umno kononnya berada dalam keadaan selesa untuk menang dalam pilihan raya, ujarnya.
Sebaliknya kata Tun Dr Mahathir, lima negeri tumbang kepada pakatan pembangkang selain Umno/BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, katanya.
Bagaimanapun Tun Mahathir berkata, pemimpin yang ada hari ini tidak mahu mengaku kesalahan dan kelemahan yang didorong oleh campur tangan sanak saudaranya itu.
Sambil menyindir menantu Abdullah, Kahiry Jamaluddin beliau juga melihat bahawa sikap tidak malu pemimpin yang ada hari ini bakal menjadikan Umno parah jika tidak diubah dengan keberanian ahlinya bermula dari sekarang.
Kata-kata Tun Mahathir mendapat sorakan hadirin yang datang dengan laungan mendesak supaya Abdullah meletakkan jawatan segera.
Beberapa soalan yang diajukan oleh hadirin dalam sesi soal jawab juga banyak menjurus kepada desakan Abdullah dan Khairy harus dipertanggungjawabkan kerana kekalahan dalam pilihan raya umum yang lalu.
Tuesday, April 1, 2008
Kali pertama sejarah Umno, PM daripada negeri yang kalah - Tun Mahathir
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment